Analisis Wacana Terhadap Fungsi Linguistik dan Semantik Partikel al- (ال) dalam Korpus Ṣaḥīḥ al-Bukhārī
List of Authors
  • Ahmad Rushdi Haroon, Saipolbarin Ramli

Keyword
  • Partikel al- (ال), Analisis Wacana, Semantik, Hadis, Pendidikan Islam

Abstract
  • Bahasa Arab merupakan medium utama penyampaian ilmu dalam pendidikan Islam serta asas kepada pemahaman hadis Nabi SAW. Ketepatan dalam mentafsir struktur bahasa Arab, khususnya partikel al- (ال), amat penting bagi memperkukuh kefahaman terhadap teks agama dan pembentukan nilai serta pemikiran Islam dalam konteks pendidikan moden. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian terdahulu lebih menumpukan kepada aspek sintaksis dan leksikal tanpa meneliti secara mendalam fungsi semantik, pragmatik dan kognitif yang menentukan keutuhan makna serta kohesi wacana kenabian. Justeru, kajian ini dilaksanakan bagi mengisi jurang tersebut melalui pendekatan analisis wacana yang bersifat integratif. Kajian ini meneliti fungsi linguistik dan semantik partikel al- (ال) dalam korpus Ṣaḥīḥ al-Bukhārī berasaskan gabungan teori Naẓm al-Jurjānī, al-Naḥw al-Wāfī oleh ʿAbbās Ḥasan, teori kohesi dan koheren Halliday dan Hasan, serta model kognitif Van Dijk. Analisis terhadap hadis-hadis terpilih daripada Kitāb al-Īmān mendapati bahawa partikel al- (ال) berfungsi dalam pelbagai dimensi makna seperti Alif Lām al-ʿAhd al-Dhihnī, al-Jinsiyyah dan al-Istiftaḥiyyah, yang memainkan peranan penting dalam pembentukan struktur semantik dan sintaksis wacana. Kajian ini turut mencadangkan kategori baharu iaitu maʿhūd dhihnan iṣṭilāḥan, merujuk kepada istilah keagamaan yang maknanya telah jelas dan difahami berdasarkan konteks penggunaannya. Dapatan kajian menjelaskan bahawa partikel al- (ال) bukan sekadar elemen tatabahasa, tetapi juga berperanan sebagai pemacu kognitif dan pragmatik yang menghubungkan struktur, makna dan konteks dalam wacana hadis. Kajian ini menyumbang kepada pengembangan analisis bahasa Arab dengan mengintegrasikan teori klasik dan moden serta menawarkan implikasi signifikan terhadap pedagogi bahasa Arab, literasi agama dan pembinaan masyarakat berilmu.

Reference
  • No Data Recorded