Kajian Pembelajaran merupakan satu amalan guru di Negara Jepun yang memberi kesan positif terhadap kualiti profesionalism pendidik. Pendekatan ini juga menggalakkan guru bekerja secara kolaboratif dalam perkongsian ilmu dan pengalaman serta penelitian sepanjang sesi pengajaran guru. Namun begitu, pembudayaan Kajian Pembelajaran masih belum diterapkan secara meluas di Malaysia walaupun ianya telah bertapak di sini sejak 9 tahun yang lalu. Hal ini kerana, kebanyakan guru mengganggapkan pendekatan ini adalah satu bebanan tugas tambahan yang menyebabkan terganggunya emosi dan dapat menimbulkan tekanan dalam kalangan guru. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti hubungan antara penerimaan guru dalam pelaksanaan Kajian Pembelajaran dengan tekanan guru berkaitan dengan pelaksanaan Kajian Pembelajaran. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan menggunakan instrumen borang soal selidik. Seramai 186 orang guru yang mengajar di sekolah menengah kebangsaan harian dipilih untuk dijadikan sebagai sampel kajian. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan guru dan tahap penerimaan guru terhadap pelaksanaan Kajian Pembelajaran adalah tinggi. Walaubagaimana pun, tahap tekanan guru berkaitan dengan amalan pelaksanaan Kajian Pembelajaran pula berada pada tahap yang rendah. Hasil daripada analisis inferensi pula didapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan skor min penerimaan guru terhadap pelaksanaan Kajian Pembelajaran berdasarkan tahun pengalaman guru mengajar. Manakala terdapat hubungan yang negatif dan sangat lemah antara penerimaan guru terhadap pelaksanaan Kajian Pembelajaran dengan tekanan guru berkaitan dengan pelaksanaan Kajian Pembelajaran. Secara kesimpulannya, guru-guru perlu diberi pendedahan yang lebih efektif terhadap pelaksanaan Kajian Pembelajaran supaya mereka dapat meningkatkan lagi kualiti profesionalism keguruan pada masa hadapan.