Keberkesanan suatu sistem pendidikan dinilai berdasarkan kompetensi setiap anggota yang menjayakannya termasuk guru yang bertindak sebagai agen pemindahan ilmu pengetahuan dan maklumat kepada pelajar. Penerapan pelbagai elemen kemahiran dalam diri seseorang guru akan dapat meningkatkan kompetensi mereka dalam pengajaran. Sehubungan dengan itu, kemahiran metakognitif menjadi salah satu kemahiran yang dilihat dapat membantu meningkatkan potensi dan keterampilan guru sebagai pendidik. Kertas konsep ini membincangkan kompetensi pengajaran guru sebagai pendidik melalui kemahiran metakognitif dalam pengajaran untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Sistem pendidikan yang berkesan merupakan salah satu faktor pemangkin pembentukan masyarakat yang maju dan harmoni selaras dengan perkembangan dunia dalam era globalisasi kini. Maka, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggiatkan usaha dalam merancang program yang dapat membantu memperkasa kompetensi guru secara berfokus berdasarkan kemahiran metakognitif ini. Perancangan secara berfokus akan lebih mudah dan memberikan keberkesanan yang baik dalam sesuatu program apabila kekuatan, kelemahan dan kepentingan sesuatu aspek itu dikenal pasti.