Sistem pendidikan bersifat dinamik dan sentiasa mengalami perubahan dari tahun ke tahun. Namun perubahan sistem pendidikan dari segi dasar dan pelaksanaan tidak mendapat persetujuan dan kerelaan kepada anggota pelaksana seperti guru. Seperti mana pelaksanaan kelas bercampur mendapat pertentangan daripada guru-guru yang tidak bersetuju dengan dasar ini. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor ketidaksediaan guru terhadap pelaksanaan kelas bercampur aras pencapaian akademik murid. Selain itu kajian ini juga bertujuan untuk melihat faktor dari segi pengetahuan guru terhadap pelaksanaan dasar ini, latihan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah kepada guru dan sikap guru terhadap pelaksanaan kelas bercampur. Kajian ini melibatkan 2 orang peserta yang merupakan guru Bahasa Melayu dan Guru Bahasa Inggeris yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah daerah Mersing. Data diperoleh melalui kaedah temu bual dianalisis berdasarkan analisis mengikut tematik mengikut 3 tema iaitu pengetahuan, latihan dan sikap. Secara keseluruhannya, dapat dilihat bahawa tema pengetahuan tidak memainkan peranan utama ketidaksediaan guru-guru terhadap pelaksanaan kelas bercampur ini, manakala tema latihan dilihat menjadi faktor utama seterusnya tema sikap juga merupakan faktor yang kuat terhadap ketidaksediaan ini. Oleh itu, pengkaji berharap dapatan daripada kajian ini boleh membuka minda semua pihak untuk meneruskan kelestarian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia agar setiap dasar dan perubahan yang digubal dapat dijalankan dan diterima oleh semua guru di Malaysia.