Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) merupakan elemen penting dalam pembelajaran Pendidikan Sejarah yang membolehkan murid meneroka idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru. Namun, persoalannya, adakah guru-guru sejarah sekolah rendah di daerah Johor Bahru sedia dalam usaha menerapkan KPS. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap kesediaan guru dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) berdasarkan faktor pengkhususan subjek dan pengalaman mengajar. Ini merupakan kajian kuantitatif yang berbentuk tinjauan. Borang soal selidik telah diedarkan kepada responden secara dalam talian. Seramai 105 orang responden dipilih melalui persampelan yang terdiri daripada guru yang mengajar mata pelajaran sejarah di sekolah rendah dalam dareah Johor Bahru. Hasil daripada analisis deskriptif melaporkan bahawa guru sejarah sekolah rendah mempunyai tahap pengetahuan yang sangat. Manakala, tahap kemahiran dan sikap guru adalah tinggi dalam menerapkan KPS. Secara keseluruhannya, dapatan kajian melaporkan guru-guru sejarah sekolah rendah di daerah Johor Bahru mempunyai tahap kesediaan yang tinggi dalam menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah. Analasis chi square pula digunakan bagi mengkaji hubungan tahap kesediaan guru sejarah di sekolah rendah berdasarkan faktor pengkhususan subjek dan pengalaman mengajar guru. Dapatan analisis inferensi melaporkan bahawa tahap kesediaan guru mempunyai hubungan signifikan dalam menerapkan KPS berdasarkan faktor pengkhususan subjek dan faktor pengalaman mengajar. Akhir kata, dapatan kajian ini boleh dijadikan sebagai panduan kepada para guru Sejarah terutamanya dalam melengkapkan diri dengan memiliki tahap kesediaan yang mantap dalam melaksanakan KPS kepada murid-murid -agar objektif dan matlamat kurikulum Sejarah tercapai.