Efikasi kendiri adalah tahap keyakinan pada kemampuan diri sendiri untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan terutama di dalam aktiviti pengajaran. Fokus utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap efikasi kendiri guru prasekolah dalam melaksanakan pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Oleh itu, seramai 200 orang guru prasekolah yang mengajar di 45 buah sekolah rendah di Bahagian Kapit telah dipilih secara rawak sebagai responden kajian. Terdapat tiga aspek efikasi kendiri guru yang dikaji iaitu efikasi dalam aspek strategi pengajaran, aspek pengurusan bilik darjah dan aspek penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian menunjukkan keseluruhan nilai yang diperolehi adalah (min=6.96 dan sp=.726) bagi keseluruhan tahap efikasi guru prasekolah. Hal ini menggambarkan bahawa efikasi kendiri guru dalam aspek strategi pengajaran, pengurusan bilik darjah dan penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran berada di tahap yang tinggi. Berdasarkan keputusan kajian iaitu mengenal pasti tahap perbezaan tahap efikasi guru prasekolah dalam mengajar Bahasa Inggeris dan faktor demografi dengan menggunakan dua kaedah analisis dalam menganalisis perbezaan ini iaitu ujian-t dan juga analisis varian sehala (ANOVA) telah menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan setiap faktor berikut dalam mempengaruhi tahap efikasi guru prasekolah dalam mengajar Bahasa Inggeris. Kesimpulannya, setiap guru perlu ada efikasi kendiri iaitu keyakinan dalam diri agar setiap apa yang dilaksanakan mendapat hasil yang sangat baik.