Kajian ini meneliti keberkesanan amalan 3H (Head On, Heart On, Hands On) terhadap kualiti guru di daerah Pasir Gudang, Johor. Pendekatan 3H, yang diperkenalkan oleh Darling-Hammond (2021), menekankan integrasi elemen kognitif, emosi, dan praktikal untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tahap amalan 3H dan impaknya terhadap kualiti guru berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2). Kepentingan kajian ini terletak pada usaha memperkukuhkan pengajaran holistik dalam sistem pendidikan Malaysia. Kajian kuantitatif ini melibatkan 120 orang guru dari empat sekolah di daerah Pasir Gudang dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen utama. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif untuk menentukan tahap amalan 3H. Dapatan menunjukkan bahawa tahap amalan 3H dan kualiti guru berada pada tahap sangat tinggi. Elemen Heart On mencatatkan skor tertinggi, mencerminkan peranan empati dalam membina hubungan interpersonal yang positif antara guru dan pelajar. Kajian ini menyumbang kepada literatur Pendidikan dengan menyediakan bukti empirikal mengenai keberkesanan amalan 3H dalam konteks Malaysia. Implikasi praktikal termasuk memperkukuhkan program latihan guru dengan penekanan kepada elemen Heart On dan Hands On, serta menggalakkan penerapan pendekatan ini dalam pelbagai konteks pendidikan. Kajian lanjut disarankan untuk menilai keberkesanan amalan ini di kawasan luar bandar atau dalam kalangan pelajar keperluan khas.