Impak Perintah Kawalan Pergerakan Terhadap Tahap Kecergasan Pelajar dari Kawasan Pinggir Bandar Malaysia
List of Authors
  • Khairul Amri Ibrahim

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita ini merupakan isu utama dan sering dibincangkan oleh warga pendidik dalam memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bebas daripada penularan wabak ini. Maka, kajian ini ingin mengkaji impak perintah kawalan pergerakan terhadap tahap kecergasan pelajar sekolah menengah dengan melihat status perubahan tahap kecergasan pelajar dan Indeks Jisim Tubuh (BMI). Situasi yang mewujudkan kekangan dalam melaksanakan aktiviti pendidikan jasmani dan aktiviti luar bilik darjah juga menjadi faktor utama kajian ini dilaksanakan. Tahap kecergasan pelajar yang dijadikan sampel dinilai dan dianalisa berdasarkan kepada keputusan Ujian SEGAK yang dilaksanakan pada tahun 2019 dan 2020. Data keputusan Ujian SEGAK ini diperolehi melalui sistem atas talian Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK-SEGAK) yang telah disahkan oleh guru yang bertanggungjawab. Data yang diperolehi ini melibatkan seramai 373 orang pelajar dari 3 buah sekolah menengah di negeri Perak, Terengganu dan Sarawak. Dapatan data telah dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 23. Kajian ini menunjukkan bahawa terdapat kemerosotan tahap kecergasan daya tahan otot dan kekuatan otot melalui dapatan bateri ujian tekan tubi dan ringkuk tubi separa. Selain itu, Indeks Jisim Tubuh (BMI) telah menunjukkan corak perubahan yang kurang baik terutama bagi sampel yang mempunyai lebihan berat badan dan juga obes. Dicadangkan kajian akan datang dapat melihat kepada program peningkatan tahap kecergasan fizikal dalam meningkatkan tahap kecergasan pelajar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.


Reference
  • No Data Recorded