Sikap memainkan peranan yang penting bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar dalam pembelajarannya. Sikap pelajar terhadap matematik yang baik dapat merangsang meta kognitif pelajar untuk mencapai pencapaian yang baik dalam matematik. Kajian tinjauan kuantitatif ini dijalankan bagi mengkaji hubungan sikap dari segi minat, keyakinan, kebimbangan, dan persepsi pelajar terhadap kegunaan matematik dengan pencapaian pelajar pra-universiti dalam Matematik T di Kinta Utara, Perak. Seramai 211 pelajar pra-universiti daripada 10 buah sekolah termasuk Kolej Tingkatan 6 di Kinta Utara dipilih menggunakan kaedah pensampelan rawak mudah. Data-data dikumpul menggunakan instrumen soal selidik yang diterjemahkan daripada Instrumen Pengukuran Sikap Fennema and Sherman (1976) hasil adaptasi oleh Dlamini (1998), secara atas talian. Analisis inferensi statistik iaitu ujian-t tak bersandar dan korelasi Pearson digunakan untuk menganalisis data menggunakan perisian SPSS 26. Hasil dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan sikap di antara pelajar lelaki dan perempuan. Keempat-empat konstruk sikap yang dikaji mempunyai korelasi yang signifikan dengan pencapaian pelajar dalam subjek Matematik T. Minat (r=.266), keyakinan (r=.342) dan persepsi pelajar terhadap kegunaan matematik (r=.631) mempunyai hubungan signifikan yang positif manakala kebimbangan (r=–.173) mempunyai hubungan signifikan yang negatif dengan pencapaian pelajar. Secara keseluruhannya, sikap pelajar di Kinta Utara berkorelasi secara sederhana (r=.562) dengan pencapaian pelajar dalam Matematik T. Kajian ini menunjukkan konstruk sikap, iaitu minat, keyakinan, kebimbangan dan persepsi pelajar terhadap kegunaan matematik, mempunyai pengaruh terhadap pencapaian pelajar pra-universiti dalam Matematik T di Kinta Utara, Perak.