Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan salah satu agenda dalam sistem pendidikan bagi membentuk generasi yang boleh menghadapi cabaran dunia semasa. Namun begitu, tahap KBAT di kalangan murid pada masa kini sangat membimbangkan. Maka, kajian ini dikendalikan bagi meneliti tahap kesediaan, pengetahuan dan sikap murid terhadap KBAT dalam mata pelajaran sains. Pengkaji juga mengkaji tentang perbezaan kesediaan, pengetahuan dan sikap murid terhadap KBAT berdasarkan lokasi sekolah. Kajian ini dapat memberi impak positif kepada murid, guru dan kementerian dalam usaha memastikan proses pemupukan dan penerapan KBAT dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif berbentuk tinjauan yang menggunakan soal selidik sebagai instumen kajian bagi mengumpulkan data. Peserta kajian ini terdiri daripada 248 orang murid tahun lima yang belajar di sekolah-sekolah rendah di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS 27.0. Hasil kajian menunjukkan bahawa kesediaan, pengetahuan dan sikap murid terhadap KBAT dalam mata murid dan sains berada pada tahap yang tinggi. Manakala, analisis inferensi pula membuktikan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap kesediaan, pengetahuan dan sikap murid terhadap KBAT berdasarkan lokasi sekolah. Kerjasama yang erat antara guru, pengurusan sekolah, ibu bapa, kerajaan, dan masyarakat setempat adalah kunci kejayaan dalam membentuk sistem pendidikan yang adil dan menyeluruh untuk semua murid. Implikasi kajian ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada murid dalam konteks pendidikan, tetapi juga membentuk individu holistik yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.