Artikel ini merupakan kertas konsep yang membincangkan berkaitan dengan faktor-faktor halangan yang dihadapi dalam melaksanakan program pendidikan inklusif oleh guru aliran perdana. Program pendidikan inklusif telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi peluang kepada murid berkeperluan khas bagi mendapakan akses kepada pendidikan di kelas aliran perdana serta memupuk keyakinan dan jati diri yang tinggi. Berdasarkan kepada laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk menambah murid berkeperluan khas dalam model program pendidikan inklusif. Dalam menjalankan PPI, guru aliran perdana merupakan penggerak utama yang bertanggungjawab secara sepenuh bagi memastikan program pendidikan inklusif mencapai kejayaan, namun terdapat halangan dan permasalahan yang timbul bagi melaksanakan PPI telah dikenalpasti yang mempengaruhi proses pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah. Antara salah satu faktor yang menghalang yang telah dikenal pasti ialah guru tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan latihan yang sewajarnya mengenai pendidikan khas serta mengaplikasikan kaedah dan teknik pengajaran yang sama antara MBK dan murid yang normal. Berdasarkan permasalahan yang dihadapi oleh guru aliran perdana, penulis mencadangkan agar bengkel secara bersama antara guru aliran perdana dan guru pendidikan khas diadakan secara berkala untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru aliran perdana dalam mengendalikan MBK. Diharap dengan kerjasama dan sokongan antara guru aliran perdana dan guru pendidikan khas akan dapat memperbaiki faktor-faktor yang menjadi halangan dan meningkatkan keberkesanan program pendidikan inklusif serta dapat mencapai objektif yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.