Hubungan Antara Tahap Kecerdasan Emosi Dengan Tahap Efikasi Kendiri Murid Sekolah Rendah
List of Authors
  • Nurul Aina Najihah Zurin

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Kecerdasan emosi merupakan keupayaan individu dalam mengurus dan mengawal emosi diri sendiri dan orang sekeliling. Manakala efikasi kendiri pula merujuk kepada kepercayaan terhadap keupayaan yang dimiliki agar dapat bertindak mengikut cara yang diperlukan yang seterusnya dapat mempengaruhi situasi. Maka, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti hubungan antara tahap kecerdasan emosi dengan tahap efikasi kendiri murid Sekolah Kebangsaan di Daerah Petaling Perdana, Selangor. Seramai 100 orang murid Tahun 5 telah dipilih menggunakan persampelan secara rawak daripada empat buah Sekolah Kebangsaan di Daerah Petaling Perdana, Selangor. Kajian yang bersifat kuantitatif ini menggunakan soal selidik melalui aplikasi Google Form yang dibangunkan dan diadaptasi berdasarkan Inventori Kecerdasan Emosi (Goleman, 1995) dan Self-Efficacy Questionnaire for Children (SEQ-C) mengikut konteks kajian. Perisian SPSS versi 26 digunakan untuk menganalisis data statistik deskriptif dan inferensi. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap kecerdasan emosi murid Sekolah Kebangsaan di daerah ini berada pada tahap yang sederhana (min= 2.82). Manakala tahap efikasi kendiri murid di daerah ini juga berada pada tahap sederhana (min= 2.87). Hasil analisis korelasi pearson menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kecerdasan emosi dengan tahap efikasi kendiri murid Sekolah Kebangsaan di Daerah Petaling Perdana, Selangor (r=0.870). Dalam kajian ini juga, analisis regresi linear pelbagai dengan menggunakan teknik stepwise mendapati kelima-lima dimensi tahap kecerdasan emosi memberi sumbangan terhadap tahap efikasi kendiri murid iaitu, [F(5,93)=53.084, p<.001]. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan bahawa dimensi dalam tahap kecerdasan emosi iaitu menguruskan emosi, empati, kesedaran kendiri, motivasi diri dan kemahiran sosial dapat meramal tahap efikasi kendiri murid. Hasil kajian menyimpulkan bahawa, tahap kecerdasan emosi dan tahap efikasi kendiri memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berdaya saing yang seimbang dari pelbagai sudut seperti intelek, emosi, rohani dan jasmani.


Reference
  • No Data Recorded