Selaku pendidik prasekolah, setiap pengajaran dan pembelajaran yang dirancang perlu mendasari kesepaduan agar murid mendapat input pengetahuan secara menyeluruh. Hal ini bagi menyahut matlamat utama KSPK dalam menuyuburkan keseluruhan aspek perkembangan JERIS murid. Maka, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meneroka faedah pendekatan simulasi jual beli terhadap perkembangan JERIS murid prasekolah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dan dilaksanakan menerusi pendekatan kajian kes penerokaan. Instrumen kajian ini menggunakan temu bual, pemerhatian, dan analisis dokumen. Data dianalisis menggunakan Constant Comparative Method daripada Glaser & Strauss (1967), serta perisian Nvivo 12plus dalam membantu pengkaji mengurus data kajian. Kajian ini melibatkan seramai 22 kanak-kanak prasekolah dalam pemerhatian aktiviti simulasi jual beli, dan enam kanak-kanak terlibat dalam kumpulan fokus mewakili sesi temu bual dan analisis dokumen. Manakala seorang guru terlibat dalam sesi temu bual utama kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan pendekatan simulasi jual beli memupuk perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh dari semua aspek JERIS. Hasil penemuan ini mampu mengubah minda guru dalam menyampaikan pengajaran yang membentuk sosiobudaya manusia sebenar menjurus kepada pembangunan perkembangan kanak-kanak secara serentak seterusnya berupaya diadaptasi dalam dunia kehidupan yang realiti.