Kajian ini bertujuan untuk meninjau amalan gamifikasi melalui pengajaran penulisan karangan Bahasa Melayu dalam kalangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Reka bentuk kuantitatif yang melibatkan kaedah tinjauan dengan melibatkan instrumen soal selidik digunakan dalam kajian ini. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 285 guru Bahasa Melayu yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di negeri Selangor. Kajian ini menggunakan pensampelan rawak mudah. Statistik deskriptif (skor min dan sisihan piawai) dan statistik inferensi (korelasi) digunakan untuk menganalisis data yang diperoleh. Dapatan kajian menunjukkan amalan penggunaan gamifikasi dalam pengajaran penulisan karangan dengan nilai min 4.18 (SP=0.455), iaitu tahap min yang tinggi. Manakala min bagi tahap kecenderungan guru menggunakan gamifikasi dalam pengajaran penulisan karangan ialah 4.11 (SP=0.398), iaitu tahap min yang tinggi. Malah, hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara minat guru terhadap gamifikasi dengan pelaksanaan pengajaran penulisan karangan menggunakan gamifikasi (r=0.851, p<.05). Kesimpulannya, amalan gamifikasi banyak diaplikasikan dalam kalangan guru Bahasa Melayu dalam pengajaran penulisan Bahasa Melayu terutamanya. Implikasinya, amalan gamifikasi ini sesuai digunakan dalam pengajaran dan pemudahcaraan agar dapat meningkatkan kemahiran menulis karangan Bahasa Melayu murid.