Sejak pilihanraya kesepuluh lagi, penggunaan internet yang merupakan asal-usul kepada media baharu dalam kempen politik sudah bermula di Malaysia. Ia telah mengubah kehidupan rakyat yang kini semakin berdamping dengan pelbagai aplikasi media baharu. Situasi ini sekaligus mempengaruhi para pengundi secara positif dan negatif serta memberi impak yang signifikan kepada senario politik negara kini. Para pengundi yang memiliki pelbagai latar belakang pendidikan dan kebudayaan menghadapi dilema besar ketika berhadapan dengan maklumat dan janji politik. Sebahagian kempen politik dan manifesto parti sememangnya benar, ada pula yang separuh benar dan banyak juga palsu dan perlu ditangani. Ini kerana kesannya amat besar kepada integriti wakil rakyat dan parti yang menang. Pada aspek kestabilan politik negara pula, kepercayaan dan keyakinan yang telah diberi dan diterjemahkan semasa memangkah kertas undi seakan dikhianati. Justeru kajian ini bertujuan untuk menemui ‘teknik asas’ yang perlu ada pada diri para pengundi dalam menerima penuh, sebahagian sahaja atau menolak terus sebarang informasi politik dan manifesto pilihanraya. Ia hanya berlaku dengan kita mengetahui panduan ilmu politik Islam semasa. Kajian ini menggunakan kaedah gabungan kualitatif yang memfokuskan reka bentuk kajian kes dengan kaedah kuantitatif yang melihat secara dekat persampelan deskriptif kerana ia mampu membantu pasukan penyelidik kajian untuk memahami sesuatu perkara atau fenomena dengan lebih mendalam dan mampu menjawab persoalan bagaimana dan kenapa sesuatu perkara atau fenomena itu berlaku. Kajian yang dibangunkan ini jika diselesaikan akan memberi impak positif kepada kecenderungan masyarakat terutamanya para pengundi dalam membuat pilihan. Walaubagaimanapun, kajian pada masa hadapan boleh meluaskan sasaran kajian dan juga lokaliti supaya dapat mempelbagaikan dapatan yang boleh membantu pihak yang bertanggungjawab dalam memperkasakan hasrat murni negara.