Pengalaman Pendidikan Prasekolah dan Kesediaan ke Sekolah Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Tahun 1 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)
List of Authors
Khairul Farhah Khairuddin, Nur Syamimi Saiyidah Azlan
Keyword
kesediaan ke sekolah, pendidikan prasekolah, pendidikan khas, PPKI, Tahun 1
Abstract
Kajian ini bertujuan meneroka kesediaan ke sekolah murid Pendidikan Khas Tahun 1 Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berdasarkan pengalaman mengikuti pendidikan prasekolah. Secara khusus, kajian ini mengenal pasti tahap kesediaan murid yang mempunyai pengalaman prasekolah dan murid yang tidak mengikutinya serta menganalisis perbezaan antara dua kumpulan tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes bagi memperoleh pemahaman yang komprehensif terhadap kesediaan ke sekolah murid. Data dikumpulkan melalui temu bual separa berstruktur bersama enam orang guru PPKI Tahun 1, pemerhatian bilik darjah dan analisis dokumen, serta dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid yang mengikuti pendidikan prasekolah memperlihatkan tahap kesediaan yang lebih baik dari segi penyesuaian terhadap rutin sekolah, pengurusan tingkah laku, kefahaman arahan serta penglibatan dalam aktiviti pembelajaran. Sebaliknya, murid yang tidak mempunyai pengalaman prasekolah menunjukkan jurang kesediaan yang lebih ketara dan memerlukan sokongan pengajaran yang lebih berstruktur serta tempoh transisi yang lebih panjang. Kajian ini menyumbang kepada pengukuhan kerangka kesediaan ke sekolah dalam konteks pendidikan khas dengan menegaskan kepentingan pengalaman pendidikan awal sebagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan peralihan murid ke pendidikan formal. Dapatan kajian turut menyediakan implikasi praktikal terhadap perancangan program transisi, penambahbaikan amalan pedagogi serta pengukuhan dasar berkaitan akses pendidikan prasekolah bagi murid berkeperluan khas.