Analisis Unsur Budaya dan Strategi Terjemahan dalam Filem Geng: Pengembaraan Bermula
List of Authors
  • Fudzla Suraiyya Abdul Raup, Mohd Fahimi Zakaria, Muhammad Aqil Naim Zabidi

Keyword
  • terjemahan, budaya, kaedah terjemahan, terjemahan sarikata

Abstract
  • Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti unsur budaya dalam terjemahan filem Geng: Pengembaraan Bermula berdasarkan teori Ghazala (2015) serta menganalisis strategi terjemahan yang digunakan untuk menterjemahkan unsur-unsur tersebut berpandukan teori Vinay dan Darbelnet (1995). Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis kandungan terhadap korpus dialog dalam bahasa Melayu dan padanan terjemahannya dalam bahasa Arab. Hasil kajian menunjukkan bahawa kesemua lapan unsur budaya yang digariskan oleh Ghazala (agama, sosial, politik, mental dan emosi, linguistik, sastera, ekologi dan material) wujud dalam filem ini. Unsur sosial merupakan unsur yang paling dominan kerana filem ini menggambarkan kehidupan kampung masyarakat Melayu dalam suasana santai dan mesra keluarga. Sebaliknya, unsur politik merupakan unsur yang paling kurang menyerlah. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa hanya lima daripada tujuh strategi terjemahan oleh Vinay dan Darbelnet telah digunakan, iaitu strategi pinjaman, terjemahan literal, modulasi, persamaan dan penyesuaian. Pemilihan strategi ini dipengaruhi oleh keperluan menyesuaikan makna dalam konteks budaya sasaran tanpa mengabaikan mesej asal. Kajian ini membuktikan bahawa terjemahan unsur budaya dalam media visual memerlukan kepekaan terhadap perbezaan budaya serta kemahiran memilih strategi terjemahan yang sesuai. Kajian lanjutan dicadangkan agar melibatkan lebih banyak genre filem dan pasangan bahasa lain untuk memperluas pemahaman dalam bidang ini.

Reference
  • No Data Recorded