Penulisan ini membincangkan berkenaan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia dalam konteks Gagasan Malaysia Madani yang menjadi kerangka dasar Kerajaan Malaysia hari ini. Hubungan masyarakat pelbagai agama dan kaum di Malaysia merupakan satu dimensi penting yang sentiasa perlu diberi perhatian khusus, Ini adalah kerana dinamika interaksi kelompok masyarakat berbilang bangsa dan agama ini boleh berubah dan memberi kesan kepada negara secara keseluruhan. Cabaran-cabaran seperti prejudis, identiti etnik dan isu-isu antara kaum dan agama turut dibincangkan di dalam kertas ini bagi memperlihatkan kesan kepada usaha membina keharmonian dalam hubungan masyarakat pelbagai agama dan kaum di Malaysia. Malaysia Madani yang menjadi kerangka dasar utama negara hari ini juga menitikberatkan aspek keharmonian dan perpaduan masyarakat di Malaysia. Menerusi enam teras iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, gasasan Malaysia Madani memberi fokus kepada pendekatan yang bersifat komprehensif di dalam melakukan reformasi yang diperlukan bagi membina negara. Ini diperjelaskan dengan nilai-nilai peradaban yang perlu ada agar pendekatan madani itu dapat diterjemahkan dengan baik ke dalam enam teras kerangka dasar tersebut khususnya di dalam membentuk keharmonian dalam masyarakat. Nilai-nilai seperti ukhuwah, keadilan, kebaikan akhlak dan moral merupakan antara nilai-nilai peradaban yang mampu melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan seterusnya membentuk negara yang maju, aman dan sejahtera.