Abstrak: Tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan dan mengesahkan Soal Selidik Faktor Input Pelaksanaan Elemen Pendidikan STEM dalam Pengajaran dan Pembelajaran dari perspektif guru sebagai pelaksana di Sekolah Menengah. Berdasarkan penerokaan literatur, konstruk dan item yang dikenalpasti menyumbang kepada input pelaksanaan elemen STEM dalam pengajaran dan pembelajaran guru berjaya dibangunkan. Soal Selidik Faktor Input telah disahkan melalui kesahan muka dan kesahan kandungan instrumen yang melibatkan 13 orang pakar, manakala kesahan konstruk dan kebolehpercayaan instrumen telah dianalisis menggunakan perisian Statistical Package of Social Science (SPSS) Versi 25.0. Seramai 825 orang guru sekolah menengah terlibat dalam kajian ini. Muatan faktor bagi setiap item berada pada julat 0.578 hingga 0.831, manakala keputusan analisis kebolehpercayaan nilai alfa Cronbach adalah, a=0.943. Keputusan kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi mengesahkan soal selidik ini sesuai diaplikasikan dalam kajian sebenar.