Penyeludupan Dadah Dari Kawasan Segi Tiga Emas Thailand Serta Kesan Terhadap Keselamatan Sosial Negara Malaysia
List of Authors
  • Amer Fawwaz Mohamad Yasid

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah merupakan aktiviti jenayah yang popular memandangkan kegiatan tersebut mampu menjana pendapatan kewangan yang lumayan kepada sindiket penyeludupan dadah sama ada diperingkat antarabangsa mahupun tempatan. Kemasukan dadah ke Tanah Melayu bermula sejak dari awal kurun ke-18 oleh imigran Cina telah menyebabkan bermulanya aktiviti penyalahgunaan dadah di Tanah Melayu dengan menjadikan aktiviti menghisap candu sebagai budaya dikalangan masyarakat tempatan sebagai alternatif untuk mengurangkan tekanan kerja dan tekanan kehidupan seharian. Akan tetapi, kemasukan dadah dari luar negara secara haram semakin kritikal selepas tamat Perang Dunia Kedua menyebabkan Kerajaan British mengharamkan penggunaan dadah di Tanah Melayu secara menyeluruh pada tahun 1952.Sehinggalah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Kerajaan Malaysia telah berusaha dengan keras menangani kegiatan penyeludupan dadah yang berjalan dengan rancak sekitar penghujung tahun 1960an, disebabkan kewujudan kawasan Segi Tiga Emas yang terletak di kawasan pergunungan Thailand, Myanmar dan Laos. Era 1970-an hingga awal 1980an menunjukan peningkatan kemasukan dadah yang kritikal ke Malaysia memandangkan pada tempuh tersebut kawasan Segi Tiga Emas merupakan pengeluar utama heroin dunia sekaligus mewujudkan ancaman terhadap keselamatan nasional Malaysia. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Falsafah Dadah Negara serta Pasukan Petugas Khas Anti Dadah Negara pada tahun 1983 dengan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara. Walaubagaimanapun kegiatan penyeludupan dadah dari luar negara ke Malaysia masih lagi berlaku hingga ke hari ini. Oleh yang demikian kajian ini akan membincangkan sejarah kegiatan penyeludupan dan kemasukan dadah di Malaysia dengan mengenalpasti bagaimana kemasukan dadah ke dalam negara telah mewujudkan ancaman terhadap keselamatan negara Malaysia terutamanya dari sudut ancaman sosial terhadap masyarakat melibatkan masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah secara umum.


Reference
  • No Data Recorded