Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertanggungjawab dalam mentransformasi keguruan sebagai profesion utama. Tambahan pula, kekurangan guru bukan opsyen bagi mata pelajaran kurikulum baharu berhadapan dengan cabaran dalam transformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian berlandaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, 2013-2025), malah guru atau dikenali jurulatih yang dilantik atas perjawatan dan pengalaman semata-mata tidak mempunyai pengetahuan asas dan pedagogi berkesan terhadap kualiti pendidikan berdasarkan kerangka Standard Guru Malaysia (SGM). Kajian konsep sains sosial ini dilakukan untuk mengenal pasti pengetahuan dan meneroka kemahiran serta amalan jurulatih Seni Teater dalam pelaksanaan pengajaran. Oleh itu, kajian ini berlatar belakang Teori Pengetahuan Pedagogikal Isi Kandungan (PPIK) oleh Shulman (1986) dalam perlaksanaan kurikulum baharu mata pelajaran Seni Teater di Sekolah Seni Malaysia (SseM). Tinjauan literatur membincangkan pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi jurulatih mengenai integrasi pendidikan dan Seni Persembahan secara mendalam. Rekabentuk kajian bersifat kualitatif dan strategi kajian kes memilih lima orang jurulatih Seni Teater sebagai peserta kajian yang tidak mempunyai latar belakang pengkhususan dan kelayakan ikhtisas atau profesional khusus Pendidikan dan Seni Teater. Pengumpulan data melalui protokol temu bual separa berstruktur, protokol pemerhatian separa berstruktur, dan analisis dokumen kandungan. Justeru itu, triangulasi data dilakukan bagi tujuan kesahan dan kebolehpercayaan. Sumbangan kajian ini untuk menambahbaik bidang tugas profesionalisme kejurulatihan utama pendidikan, penyediaan sumber bahan bantu mengajar, penjaminan kualiti, kurikulum, pentaksiran, serta merangka model panduan dan kerangka konsep. Kesimpulan, permintaan dan keperluan tinggi dalam kajian ini mampu membangunkan bidang profesionalisme keguruan baharu dalam dunia pendidikan secara teori dan praktikal amnya dalam mata pelajaran Pendidikan Kesenian dan khususnya Seni Persembahan.