Pembelajaran dalam talian atau dikenali sebagai (e-pembelajaran) bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan sejak pandemik Covid-19. Kertas konsep ini cuba melihat isu dan cabaran yang dihadapi oleh guru, pelajar dan ibu bapa dalam pelaksanaan pembelajaran dalam talian semasa tempoh pandemik Covid-19. Beberapa kajian terdahulu telah dianalisis dengan lebih mendalam untuk tujuan ini. Keputusan analisis menunjukkan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh guru dan pelajar ialah capaian internet dan juga kemahiran guru dalam penggunaan ICT. Manakala ibu bapa pula menghadapi masalah kehabisan data telefon dan seterusnya menyebabkan isu kewangan bagi golongan keluarga B40. Justeru, kerajaan perlu menangani kekangan yang ada dalam prasarana ICT dan liputan internet di kawasan luar bandar dan pedalaman. Bagi guru-guru pula perlu bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran penggunaan ICT yang mencukupi demi keperluan mengikut pandemik semasa ini.