Keperluan Siswa dan Pensyarah terhadap Teknologi Metasemesta dalam Kursus Bahasa Kebangsaan A di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)
List of Authors
Amy Liew Xiu Jie, Nurul Aisyah Kamrozzaman1
Keyword
Tahap keperluan, kursus Bahasa Kebangsaan A, teknologi metasemesta, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)
Abstract
Perkembangan teknologi digital kini telah membawa perubahan yang ketara dalam landskap pendidikan tinggi, khususnya terhadap pengenalan teknologi imersif seperti metasemesta. Teknologi metasemesta, yang merangkumi integrasi Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR), dan ruang digital tiga dimensi (3D) telah menawarkan potensi besar dalam memperkayakan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Dalam konteks pengajaran bahasa, teknologi ini dipercayai dapat meningkatkan motivasi, penglibatan, dan keberkesanan penguasaan kemahiran bahasa siswa secara menyeluruh. Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti tahap keperluan siswa dan pensyarah terhadap penggunaan teknologi metasemesta dalam Kursus Bahasa Kebangsaan A di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Kajian ini menerapkan kaedah campuran- kaedah kualitatif dan kaedah kuantitatif. Soal selidik diedarkan kepada 73 responden (siswa), manakala sesi temu bual separa berstruktur dijalankan bersama seorang responden (pensyarah) sahaja yang mengikuti, dan mengajari kursus tersebut. Dapatan telah menunjukkan bahawa wujudnya kesediaan dan keperluan yang tinggi dalam kedua-dua kumpulan responden terhadap penerapan teknologi metasemesta dalam PdP kursus tersebut. Responden menekankan keperluan terhadap kaedah pembelajaran yang lebih interaktif, autentik dan fleksibel yang mampu meningkatkan pemahaman, penguasaan bahasa, serta minat terhadap kursus tersebut. Kajian ini selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia– Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015–2025 yang menekankan inovasi digital dalam PdP, serta mendukung aspirasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mengutamakan transformasi digital dalam pendidikan. Implikasinya, kajian ini memberikan asas kepada pembangunan model metasemesta pembelajaran imersif berdasarkan keperluan siswa dan pensyarah, membolehkan usaha memperkasakan pendidikan bahasa di IPTS secara lebih berkesan, dan relevan dengan keperluan semasa.