Kajian ini dijalankan untuk mengkaji tahap pengurusan kewangan terhadap usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di salah sebuah daerah terpilih di negeri Kelantan iaitu Daerah Ketereh. Sebagai ejen penstabil pertumbuhan ekonomi yang paling utama di negara Malaysia, usahawan-usahawan seharusnya memiliki keupayaan dalam menguruskan kewangan mereka bagi memastikan kelestarian perniagaan mereka berterusan. Justeru itu, objektif kajian ini ditentukan berdasar kepada tahap perekodan transaksi urusniaga mengikut format yang betul, penentuan pengiraan belanjawan perniagaan mereka dan proses pembuatan keputusan dalam pengurusan kewangan. Borang soalselidik digunakan sebagai instrumen pengumpulan data. Seramai 100 orang usahawan telah dipilih secara tidak rawak kerana memberi tumpuan terhadap ciri-ciri tertentu dan sesuai bagi membantu dalam kajian ini. Dapatan kajian mendapati secara keseluruhan tahap pengurusan kewangan di kalangan usahawan PKS adalah di tahap sederhana. Implikasinya, usahawan-usahawan PKS masih memerlukan pendedahan dan kesedaran secara berterusan dalam menguruskan kewangan mereka terutamanya dalam pengiraan belanjawan dan pembuatan keputusan.