Artikel ini bertujuan untuk menerangkan proses yang diterokai dalam menghasilkan inovasi berkaitan sumber warisan dan budaya Songket Rajang, Sarawak. Perkongsian maklumat berkaitan warisan budaya seperti Songket Rajang sebelum ini didapati terhad dan kurang mendapat perhatian masyarakat kerana masih terikat dengan pendekatan konvensional seperti buku dan dokumentari. Namun, senario ini dilihat boleh berubah kerana kaedah penyampaian maklumat ini mampu dipersembahkan dengan lebih efektif dan menarik melalui aplikasi teknologi terkini. Oleh itu, bagi melaksanakan kemungkinan ini, kaedah kualitatif seperti temu bual dan pemerhatian di samping pendekatan etnografi visual telah dijalankan terutama dalam proses dokumentasi visual menggunakan peralatan teknologi terkini. Seterusnya proses analisis dilakukan bersandarkan kepada Model Miles Huberman dan setersunya diterjemahkan kepada penghasilan satu inovasi baru yang dikenali sebagai iD-infoPAX. Inovasi tersebut telah terbukti sebagai satu kaedah penyampaian maklumat yang lebih efektif melalui pengaplikasian Augmented Reality. Hasil penyelidikan ini diharap dapat membuka peluang kepada penyelidik untuk terus meneroka kaedah alternatif dalam meneroka penyampaian maklumat berkaitan dengan seni, warisan dan budaya.