Kajian tindakan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman murid Tahun 5 terhadap topik pecahan yang melibatkan operasi tambah dan tolak menggunakan teknik Smiley Face. Seramai 10 orang murid Tahun 5 di sebuah sekolah rendah di daerah Kota Tinggi dan telah dipilih menggunakan kaedah pensampelan bertujuan. Instrumen kajian ini merupakan ujian pra dan ujian pasca untuk mengukur tahap am kefahaman murid Tahun 5 terhadap topik pecahan yang melibatkan operasi tambah dan tolak. Analisis deskriptif dan Ujian-T berpasangan diaplikasikan dengan menggunakan SPSS versi 21 dan data-data kajian dianalisis pada tahap signifikan p < 0.05 untuk menguji hipotesis kajian. Dapatan kajian menunjukkan nilai p=0.00, p < 0.05 dan membuktikan terdapat perbezaan yang signifikan dengan pencapaian peserta kajian dalam ujian pra dengan ujian pasca. Intervensi teknik Smiley Face dapat membantu meningkatkan kefahaman murid untuk menyelesaikan soalan topik pecahan yang melibatkan operasi tambah dan tolak dengan betul. Justeru teknik ini boleh dijadikan pilihan guru untuk meningkatkan kemahiran murid semasa pengajaran dan pemudahcaraan topik pecahan di dalam kelas Matematik. Implikasinya, teknik Smiley Face wajar didedahkan kepada murid Tahun 5 supaya mereka ada pilihan untuk memilih teknik yang bersesuaian semasa menjawab soalan pecahan. Teknik Smiley Face membantu murid menjawab soalan tanpa kesalahan berbanding teknik bentuk lazim.