Wanita telah menyumbang peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Kemahiran keusahawanan dan kemahiran kendiri dilihat dapat menyumbang kepada prestasi, daya saing dan kekuatan usahawan wanita luar bandar. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji tahap kemahiran keusahawanan dan kemahiran kendiri usahawan wanita luar bandar. Kajian berbentuk kuantitatif dilaksanakan menggunakan kaedah tinjauan terhadap 76 usahawan wanita luar bandar. Analisis deskriptif telah digunakan bagi mengenal pasti tahap kemahiran keusahawanan dan kemahiran kendiri. Dapatan kajian melaporkan bahawa usahawan wanita luar bandar memiliki kemahiran keusahawanan dan kemahiran kendiri pada tahap yang tinggi. Ini bermakna mereka berupaya mengurus sumber dan menggabungkan idea-idea baru untuk menghasilkan suatu produk baru. Para usahawan wanita luar bandar juga menggunakan teknologi terkini dalam memasarkan produk dan berupaya menyelesaikan masalah perniagaan. Seterusnya, dapatan kajian ini juga boleh memberi manfaat kepada FELCRA Berhad dalam merancang pelbagai program dan latihan keusahawanan dalam membantu usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan yang mereka ceburi.