Pembelajaran abad ke-21 sememangnya tidak asing lagi dalam sistem pendidikan di Malaysia, namun masih kurang diaplikasikan. Kajian literatur menunjukkan bahawa strategi pengajaran yang tepat dalam pengajaran dan pembelajaran matematik mampu meningkatkan minat pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun, tinjauan menunjukkan masih ramai guru menggunakan kaedah pembelajaran konvensional. Hal ini menyebabkan murid- murid berasa bosan semasa belajar kerana proses pembelajaran yang berlaku hanya sehala. Dalam tinjauan ini, pembelajaran abad ke-21 boleh meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran matematik serta membantu meningkatkan kefahaman murid dalam mempelajari topik yang lebih kompleks. Artikel telah diakses dari tahun 2015 hingga 2019 melalui dua pangkalan data ERIC dan Google Scholar. Sebelum menjalankan tinjauan ini, beberapa kriteria telah ditetapkan. Daripada tinjauan ini, kebanyakan kajian mendapati bahawa terdapat hubungan yang positif antara pembelajaran abad ke-21 dengan minat pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.