Pada zaman era teknologi maklumat kini, celik komputer menjadi agenda penting dalam kehidupan seharian. Ia menjadi salah satu pemangkin kepada kemajuan negara. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengukur tahap literasi komputer dalam kalangan pelajar. Selain itu, tujuan kajian juga adalah untuk mengenal pasti sama ada terdapat hubungan antara sikap dengan kemahiran menggunakan komputer dalam ukuran tahap literasi komputer pelajar. Data dalam kajian ini diperoleh melalui soal selidik yang telah diedarkan kepada 111 orang pelajar Semester Satu mewakili Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Alat ukuran yang digunakan ialah Attitude Toward Computer Scale (ATCS), Computer Self-Efficiency Scale (CSES) dan Minnesota Computer Literacy and Awareness Assessment Test (MCLAAT). Kaedah min, peratusan dan Ujian Cramer V digunakan bagi mengukur objektif dan menguji hipotesis kajian. Paras keertian 0.05 ditetapkan untuk menerima atau menolak hipotesis nul. Data dari kajian ini dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 25. Dapatan kajian menunjukkan tahap literasi komputer pelajar adalah sederhana tinggi dengan min skor 66.67%. Hasil kajian turut mendapati terdapat hubungan bererti antara tahap pendidikan dan tingkat pendapatan ibu bapa dengan tahap literasi komputer pelajar. Namun, tidak terdapat hubungan bererti antara sikap dengan kemahiran dalam ukuran literasi komputer pelajar. Dapatan kajian turut menyarankan agar lebih banyak aktiviti yang dapat memberi pendedahan mengenai komputer kepada pelajar agar tahap literasi komputer mereka bertambah baik dari masa ke semasa.