Islam, Melayu, Jati Diri, Pembentukan Budaya, Cara Hidup dan Gaya Berfikir
Abstract
Islam sebagai jati diri orang Melayu sememangnya sinonim dan tidak dapat dipisahkan. Keduanya mempunyai perkaitan yang sangat positif. Ini kerana agama adalah faktor yang utama dalam pembentukan jati diri dan budaya dalam sesebuah tamadun manusia. Selain itu, agama juga adalah elemen utama yang membentuk budaya berdasarkan ajaran yang diterapkan dalam kehidupan seharian. Semua amalan seharian kehidupan adalah berasaskan suruhan Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah S.A.W. Agama adalah merupakan satu cara hidup dan gaya pemikiran yang dibentuk berdasarkan perkara yang disuruh dan perkara yang dilarang. Amalan kehidupan berdasarkan pegangan agama ini diperturun dan diamalkan dari satu generasi ke satu generasi. Kertas penyelidikan ini ditulis adalah bertujuan untuk mengenalpasti elemen-elemen dalam ajaran Islam dan ilmu bidang sains sosial yang membentuk jati diri bangsa dan budaya dalam masyarakat. Penerokaan ini berdasarkan data sekunder iaitu dengan meneliti dan menganalisa kandungan jurnal-jurnal kajian lepas dan buku penulisan yang berkaitan dengan topik ini. Hasil penelitian daripada 25 sumber lepas didapati ajaran Islam menggariskan tiga elemen utama dalam pembentukan jati diri Melayu iaitu akidah, syariat dan akhlak. Manakala ilmu bidang sains sosial berkaitan antrapologi pula menyatakan bahawa pembentukan budaya dan jati diri bangsa adalah berkaitan dengan kepercayaan (agama), nilai dan sikap. Hasil penulisan ini boleh dirujuk oleh pemegang taruh yang berkaitan dalam membangunkan garis panduan berkenaan dengan pembentukan jati diri bangsa.