Pelaksanaan intervensi terapi cara kerja dalam pendidikan adalah sangat penting dan amat diperlukan dalam kalangan murid-murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Namun, di negara Malaysia amalan ini masih kurang dilihat berbanding negara Barat yang maju seperti Amerika Syarikat. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meneroka perubahan tingkah laku dan penglibatan murid-murid bermasalah pembelajaran dalam aktiviti pembelajaran selepas pelaksanaan intervensi terapi cara kerja. Kajian ini merupakan satu kajian kes yang melibatkan 15 orang peserta kajian di mana 10 orang peserta kajian primer yang terdiri daripada murid-murid bermasalah pembelajaran dan 5 orang peserta kajian sekunder yang teridiri daripada guru-guru pendidikan khas. Kajian ini dilaksanakan di sebuah sekolah di daerah Pontian, negeri Johor. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif seperti temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen bagi proses pengumpulan data. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan terdapat penurunan kekerapan tingkah laku agresif dan tingkah laku pasif murid bermasalah pembelajaran selepas pelaksanaan intervensi terapi cara kerja. Dari segi penglibatan dalam aktiviti pembelajaran, dapatan kajian juga menunjukkan perubahan yang positif selepas pelaksanaan intervensi terapi cara kerja dari segi interaksi sosial, emosi dan keinginan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Selain itu, dapatan kajian turut menunjukkan selepas pelaksanaan intervensi terapi cara kerja kemahiran motor halus dan koordinasi mata dan tangan murid ditingkatkan secara tidak langsung. Justeru, kesemua aspek di atas meningkatkan penglibatan murid-murid bermasalah pembelajaran dalam aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah. Akhirnya, kajian ini memberi gambaran kepada guru-guru pendidikan khas di Malaysia bahawa pelaksanaan intervensi terapi cara kerja bawah kolaborasi dan kosultansi dengan ahli-ahli terapi yang cara kerja berprofesional memberi impak kepada perkembangan murid-murid bermasalah pembelajaran dan harus diamal serta dipraktikan dalam pendidikan khas.