Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti peranan dan cabaran ibu bapa dalam memperkasakan pembelajaran Jawi terhadap anak-anak sewaktu pandemik Covid-19. Pemerkasaan tulisan Jawi ini melambangkan identiti orang Melayu dari segi keintektualan menerusi cara bacaan, menulis dan nilai estetika tulisan khat. Bagi memastikan penguasaan tulisan Jawi ini terus dilaksana, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek perancangan dan pelaksanaan pembelajaran Jawi. Seramai 150 orang ibu bapa dipilih secara rawak untuk menyertai soal selidik ini. Dapatan analisis deskriptif keseluruhan menunjukkan pelaksanaan pembelajaran dengan nilai min (4.3), peranan ibu bapa nilai min (4.4) dan cabaran ibu bapa dengan nilai min (3.9). Keputusan analisis Pekali Pearson mendapati terdapat hubungan signifikan antara pelaksanaan (r=.775, p<.005), peranan (r=.341, p<.005) dan cabaran (r=.390, p<.005). Justeru itu, untuk mendepani wabak semasa pandemik Covid-19, ibu bapa sebagai tunjang dalam keluarga perlu melaksanakan tanggungjawab keibubapaan bagi memastikan anak-anak menguasai pembelajaran Jawi dengan baik.