Penyelidikan ini bertujuan untuk melihat sejauh mana murid Tahun 4 dalam menyelesaikan operasi tambah sebarang dua nombor perpuluhan hingga tiga tempat perpuluhan dengan mengumpul semula melalui penggunaan FishBone Decimal Board (FDB). Kajian ini dilakukan di salah sebuah sekolah di daerah Hilir Perak. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tindakan dan melibatkan peserta kajian seramai tiga orang yang terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang perempuan. Peserta kajian yang dipilih berdasarkan pencapaian ujian diagnostik. Instrumen yang digunakan ialah ujian pra dan ujian pasca, analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian. Dapatan kajian menunjukkan beberapa kesilapan yang dikenalpasti seperti tidak memahami konsep penambahan dengan mengumpul semula, tidak mahir dalam nilai tempat nombor perpuluhan, kesilapan meletakkan titik perpuluhan dalam hasil jawapan yang diperoleh, dan kecuaian semasa pengiraan. Dapatan kajian juga menunjukkan intervensi yang digunakan berjaya membantu semua peserta kajian memahami konsep dan menguasai kemahiran menambah sebarang dua nombor perpuluhan hingga tiga tempat perpuluhan dengan mengumpul semula dengan menggunakan FishBone Decimal Board. Peserta kajian berjaya menjawab soalan yang dikemukakan menggunakan FishBone Decimal Board. Kekuatan utama FishBone Decimal Board adalah penggunaannya mempunyai unsur aplikasi kehidupan seharian, bersifat mesra pengguna dan membantu dalam pengukuhan konsep penambahan nombor perpuluhan.