Komuniti Etnik Rohingya: Penerimaan Dan Persepsi Masyarakat Tempatan di Johor Bahru
List of Authors
Hairunisa Zakaria, Noraini Zulkifli
Keyword
Johor, Masyarakat, Pendatang Asing Tanpa Izin, Persepsi, Rohingya
Abstract
Kehadiran komuniti etnik Rohingya di kawasan penempatan tempatan termasuk di selatan tanah air menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk. Di Johor, Kampung Kangkar Tebrau, Kampung Plentong Baru dan Skudai Kiri yang merupakan kawasan banjir serta setinggan menjadi kediamaan komuniti etnik Rohingya. Bermula kurang daripada 10 orang di sesuatu kawasan, bilangan etnik Rohingya bertambah drastik sehingga mencecah ribuan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohinga di kawasan tersebut. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan data diperoleh daripada sumber primer dan sekunder. Data primer dikumpul daripada temu bual dan pemerhatian di kawasan terlibat. Data sekunder daripada sumber empirikal seperti disertasi, jurnal dan data dalam talian. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu 1) mengkaji kesan kebanjiran komuniti etnik Rohingya di Johor; 2) menganalisis langkah-langkah pengurusan dan keselamatan akibat kebanjiran pelarian etnik Rohingya di Johor; dan 3) menganalisis keberhasilan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengurus dan mengendalikan kehadiran komuniti etnik Rohingya di Johor. Hasil kajian ini mendapati 1) kehadiran komuniti ini menimbulkan pelbagai isu sosial, ekonomi, dan keselamatan, termasuk persaingan dalam pasaran pekerjaan, peningkatan penggunaan kemudahan awam, serta persepsi negatif terhadap keselamatan sosial; 2) langkah pengurusan dan keselamatan akibat kebanjiran pelarian etnik Rohingya di Johor tidak dilaksanakan dengan tegas dan efektif; dan 3) dasar kerajaan sedia ada dalam menguruskan pelarian Rohingya dilihat tidak mencukupi, sementara penguatkuasaan yang lemah menambahkan lagi kebimbangan masyarakat tempatan. Kajian ini menyarankan supaya kerajaan mengambil tindakan lebih efektif dalam pengurusan pelarian etnik Rohingya bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia terus terjamin.