Kaedah main peranan merupakan satu bentuk pengajaran dan pembelajaran yang aktif sesuai dengan pembelajaran abad ke-21. Selari dengan era globalisasi semasa, kesedaran terhadap pentingnya aspek pendidikan membawa kepada pertambahan bilangan sekolah alternatif yang diasaskan oleh badan bukan kerajaan terutamanya di daerah Semporna, Sabah. Sekolah alternatif diwujudkan khusus buat kanak-kanak tanpa dokumen yang tidak berpeluang mendapatkan akses pendidikan di sekolah kerajaan untuk menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk meneroka pelaksanaan kaedah main peranan dalam pengajaran asas matematik di sebuah sekolah alternatif di daerah Semporna, Sabah. Pendekatan kualitatif secara kajian kes ini melibatkan seorang guru matematik di sebuah sekolah alternatif. Data kajian diperoleh melalui pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Data yang dikumpul berkaitan dengan aspek perancangan, pelaksanaan serta kekangan yang dihadapi oleh guru semasa melaksanakan aktiviti main peranan dalam pengajaran asas matematik. Hasil daripada kajian yang dijalankan mendapati bahawa guru membuat perancangan dari aspek isi kandungan, aktiviti dan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan kaedah main peranan. Guru juga mempelbagaikan aktiviti main peranan secara simulasi dalam topik-topik asas matematik yang diajar. Murid dilihat seronok serta boleh mengaplikasikan matematik yang diajar dengan lebih jelas berdasarkan aktivti yang dijalankan. Suasana kelas yang bising merupakan masalah yang wujud apabila aktiviti pembelajaran berlangsung namun dapat dikawal oleh guru dengan baik. Justeru, dapatan kajian ini boleh memberi panduan atau idea kepada guru matematik dalam mempelbagaikan aktiviti main peranan agar pengajaran dan pembelajaran matematik guru lebih menarik dan berkesan.