Kemahiran pelajar terhadap pendaraban ungkapan algebra didapati sangat lemah khususnya bagi aspek yang melibatkan penolakan sebutan negatif. Perkara ini menjadi salah satu punca menyebabkan pelajar kurang berminat dengan pembelajaran Matematik terutamanya melibatkan algebra. Kajian tindakan ini dilaksanakan untuk mengkaji keberkesanan penggunaan kaedah Jubin Algebra dalam kalangan pelajar tingkatan dua dalam meningkatkan tahap penguasaan kemahiran pendaraban ungkapan algebra. Model Kemmis dan Taggart yang mempunyai empat fasa telah digunakan dalam kajian. Kaedah pengumpulan data dibuat menggunakan pendekatan kuantitatif melalui instrumen ujian pra dan ujian pasca melibatkan 13 orang pelajar tingkatan dua. Mereka dipilih secara
pensampelan bertujuan dan kesemua mereka mempunyai masalah yang sama iaitu lemah dalam kemahiran mendarab ungkapan algebra. Data dianalisis secara deskriptif melalui frekuensi dan peratusan bagi menunjukkan tahap penguasaan kemahiran pendaraban ungkapan algebra. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan kaedah Jubin Algebra dapat memberikan impak yang positif dalam membantu mengurangkan kesilapan pelajar seterusnya meningkatkan penguasaan kemahiran mereka. Implikasi kajian ini ialah terhadap perubahan amalan pengajaran secara tradisional oleh guru kepada pengajaran menggunakan Jubin Algebra yang mana ia lebih kepada berpusatkan pelajar serta selari dengan pengajaran abad ke-21. Kajian lanjutan boleh dibuat menggunakan analisis statistik inferensi dan implementasi pendekatan kualitatif untuk mendalami keberkesanan dan meneroka potensinya dengan lebih baik.